Friday, June 1, 2012

cerpen : kerana Dia cinta



Matanya memandang ke langit. Hujan masih tali-bertemali turun dari langit yang sudah tiada awan menghiasinya. Senyum. Iman menanggalkan cermin mata,mata dipejam. Subhanallah,sejuknya. Angin sejuk, bau hujan dan bunyi titis air yang turun ke bumi membuatkan dia rasa suatu perasaan yang sungguh dekat pada Yang Maha Mencipta. Tenang. Ya, dia rasa tenang. Tenang kerana ingatan dan hatinya kembali ada pada Allah.

Surah Ar-Ra’d ayat 28,

“ (iaitu)orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.”

‘Tenang,bila hati ada pada Allah,’ Iman tersenyum lagi.

Sudah lama dia tak merasa hujan bumi Terengganu ini. Hampir tiga bulan dia tidak pulang, jihad mencari ilmu di tanah asing. ‘Ceh,jiwang la kau Iman.’ Kepalanya terasa ringan,hatinya sejuk. Sesejuk hujan yang menimpa bumi. ‘Tengok tu! Jiwang karat!’Iman tersengih.

Rindu pula dekat kolej. Cuak jugak dia bila tercampak kat Kuala Lumpur seorang diri dulu. Lepas SPM, kawan-kawannya berterabur merata di bumi Allah ini. Boleh pula dia seorang saja yang mendapat tawaran ke Universiti Malaya di Pusat Asasi Sains di bawah tajaan JPA.

Ketika dia belajar, dia ada dapat tawaran medik ke Rusia tapi dia belum bersedia nak duduk jauh dari keluarga. Iman rasa tidak yakin,tidak cukup kuat. Dia tidak menyesal sedikit pun menolak tawaran perubatan. Sebab cita-cita asal dia memang nak jadi jurutera dalam bidang kimia. Semoga Allah mengabulkan cita-citanya. Dia dah melangkah dua langkah dalam mengejar cita-citanya itu. Sekarang dia tengah bercuti tiga bulan,buka semester baru nanti, dia akan masuk ke tahun akhir dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.

Memang universiti tempat dia belajar itu tak ada perkataan ‘ISLAM’ pada namanya. Tapi Subhanallah,rahmat Allah ada di  mana-mana,seluas langit dan bumi. Dia tak sangka, dia bertemu dengan cinta di sini. Cinta Allah yang tak pernah meninggalkan dia sendiri. Dulu,hatinya tenang tapi tak setenang kini. Sebab kat sini dia belajar menjadi dewasa. Mengenali cita-cita sebenar seorang mujahid sejati. Syahid. Syahid di jalan Allah.

“Dan barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah,nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh,pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun,Maha Penyayang.”

Ayat ke 100 daripada Surah An-Nisa’ itu selalu menjadi penawar hatinya bila kadang-kadang dia terasa lelah dengan perjuangan di rantau orang padahal dia ni belajar dalam negara,belum duduk luar negara lagi.
Hidup sebagai seorang Islam yang masuk keseluruhannya ke dalam Islam itu sememangnya manis. Sebab Allah ajar kita apa sebenarnya matlamat hidup sebagai hambaNya. Kalau kita rasa lemah,kita ada ayat-ayat cinta daripada Dia untuk memujuk. Kalau kita rasa gembira pun,kita tetap ada Dia tempat kita sandarkan rasa syukur yang tak terhingga,alhamdulillah. Iman bersyukur dengan hidup yang dia ada.

Mengenali sahabat-sahabat di sini, banyak yang dia dah belajar,sedang belajar dan akan belajar dengan izinNya. Kalau dulu di sekolah menengah, dia rasa dia dah cukup baik. Dia percaya dia baik sebab semua orang kata dia baik.

Berasal dari keluarga yang berlatar belakangkan agama yang boleh dikatakan utuh, buat dia menjadi rujukan kalau ada antara kawan-kawannya ada masalah di sekolah dulu.Astaghfirullah. Tak sangka dia pernah bangga dengan diri sendiri,padahal ilmu agama yang dia ada tak sehebat sahabat-sahabat dia di sini. Kalau nak dibandingkan dengan mereka, macam langit dan bumi.

Dan bumi Kuala Lumpur yang semua orang kata payahnya nak mencari ISLAM sejati di sini,telah menyaksikan air mata seorang Muhammad Iman tumpah. Air mata yang tumpah bukan lagi kerana dunia tapi kerana merasa kecil dan lemahnya dia seorang hamba. Tegar saja dulu berasa dirinya hebat sedangkan ilmu agamanya sikit sangat-sangat.

Air matanya tumpah di hadapan seorang yang sangat dihormati, Akhi Zafran. Akhi Zafran memang sesuai dengan namanya. Membawa manfaat kepada orang sekeliling. Sama macam bunga zafran yang ada banyak khasiat. Dulu Allah hadiahkan dia Akhi Adam masa di sekolah, tapi dia tak nampak sangat rencah dunia sebab masa tu dia dekat dengan mama dan walid. Bila sudah jauh macam ini,baru terasa lemahnya dia,dan Allah tak tinggalkan dia. Allah bagi Akhi Zafran dan sahabat-sahabat yang mulia untuk menarik kembali dia menghayati agama yang dia anuti ini. Memantapkan kembali akidah yang pernah pudar kerana dunia. Menghidupkan kembali sunnah-sunnah Rasulullah yang dia jarang amalkan.

Ya. Dia pernah pudar kerana dunia. Dia pernah tenggelam dalam cinta dunia. Dia malu dengan Allah. Dia pernah jatuh suka melebih-lebih pada seorang bukan muhrimnya. Dia tahu seorang muslim itu mesti menundukkan pandangan seperti dalam firmanNya dalam Surah An-Nur ayat ke 30,

“katakanlah kepada lelaki yang beriman,agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kehormatannya,yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

Tapi rupa-rupanya iman seorang yang bernama Iman ini masih lemah diuji perhiasan dunia. Dia tahu apa yang dia buat itu salah, tapi waktu itu perasaan berdebar dalam hatinya tiap kali bertentang mata dengan Hanim terasa indah,mengaburkan dia tentang indahnya lagi mentaati perintah Allah dalam Surah An-Nur itu. Astaghfirullah. Hanim itu kawan satu sekolahnya, tapi dia tak pernah pun berbual, hanya memandang dari jauh.

Iman mengelap cermin matanya yang sudah kabur terkena air hujan dan memakainya kembali. Sekilas dia memandang kembali ke padang hijau di hadapannya yang sudah digenangi lopak-lopak air. Dia menghirup nafas dan menghembusnya perlahan. Senyum lagi. ‘Iman, kalau jatuh jangan sampai tersungkur!’ dia berbisik di dalam hati. Jatuh,jangan sampai tersungkur.

Iman bersyukur sangat-sangat bila dia tak pernah menyatakan rasa hatinya pada gadis itu sepertimana yang pernah menjadi hasratnya suatu waktu itu. Kalau dulu dia ingin sekali menyatakan hasratnya kepada Hanim sebab bimbang Hanim terlepas kepada orang lain.

Kalaulah dia teruskan hasrat dia, mesti dia akan rasa sangat bersalah dengan gadis itu andai dia memutuskan sesuatu yang dia mulakan sekarang ini. Dulu, dia memang jahil. Hanya memikirkan cinta dunia. Tanggungjawab sebagai anak, sebagai pejuang agama Allah belum dia jadikan sebagai prioriti dalam hidupnya.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Iman bersyukur kerana Allah menyedarkan dia, bahawa hidup ini bukan hanya untuk cinta pada manusia. Iman tersenyum, Allah sayang pada dia. Allah juga sedang menjaga gadis itu dari dirosakkan dunianya oleh Iman.

*****
insyaAllah nanti ada sambungannya...



No comments: