Tuesday, August 9, 2011

Ramadhan : mencari cinta yang pernah hilang




Malam 7 Ramadhan yang tenang dan indah.

Saya mendongak ke langit. Subhanallah,cantik. Langit sangat cantik. Kalau biasanya gelap dihiasi bintang. Tapi malam ini langit seakan-akan berwarna merah lembut. Sunyi tanpa bintang mahupun bulan. Kombinasi gelap malam bersama merah lembut dan sedikit biru lazuardi membuat saya kagum lagi dengan ciptaan Yang Maha Agung. Hanya dengan melihat ciptaanNya,Dia mampu membuat kita tenang.

Surah Ar-Ra’d ayat 28, “ (iaitu)orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.”

Saya duduk merenung apa yang telah saya lakukan pada hidup saya sejak akhir-akhir ini. Saya tahu banyak peluang keemasan dari Yang Menciptakan telah saya sia-siakan. Saya merenung ke hadapan. Bila menghadap Tuhan,sungguh diri terasa kerdil. Apa yang telah saya lakukan di jalanNya hingga saat ini? Di sini, di tanah kelahiran saya ini,di dalam keluarga yang Allah turunkan saya ini,di dalam kehidupan masyarakat sekeliling saya ini,apakah yang telah saya lakukan? Apakah hadirnya saya menyumbang pahala daripada Yang Melihat? Apakah wujudnya saya di tengah-tengah mereka mampu menggilap permata iman yang tika ini kurang bersinar cemerlang?


Tiada rakan seperjuangan di sisi. Tiada organisasi yang bergerak secara formal di sini. Tiada daya untuk melangkah sendiri,menegur apa yang silap,memberitahu apa yang benar. Takut dengan pandangan mereka yang mungkin memandang serong atas usaha yang cuba dilakukan. Malu. Segan. Takut. Bimbang tanggapan mereka yang mungkin tersasar,umur baru setahun jagung,sudah ada hati menegur kami yang terlebih dahulu memakan garam ini?

Alasan! Saya hanya tahu memberi alasan. Alasan,ingin melepaskan diri dari tanggungjawab terhadap Allah. Tiada rakan? Kenapa mesti bimbang?Yang Menguasai sekalian alam ada di sisimu bukan? Tiada organisasi formal? Alasan lapuk! Rasulullah SAW berdakwah dahulu,bagaimana caranya oh diri??? Takut dengan pandangan atau tanggapan buruk? Kenapa hilang tawakal kamu pada Dia Yang Satu?

ayat ke 132 Surah An-Nisa’.

“dan milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Cukuplah Allah sebagai pemeliharanya.”

Husnu zhon wahai hati. Belum berbuat apa lagi,sudah memikir bukan-bukan pada mereka. Astaghfirullah. Oh hati, mana pergi kesucianmu? Jangan menuduh sebarangan.Oh Tuhan,apa yang telah saya lakukan? Ada atau tiada? Ada sedikit atau tiada langsung?

Ayat 159 Surah Aali-‘Imran,

“Maka berkat rahmat Allah,engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar,tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal.”

Saya tidak tahu,tidak pasti apa yang telah saya lakukan. Ya,saya tidak melakukan apa-apa. Tidak cukup.Kerana sinar Islam itu hanya sekilas cahaya terlihat,tidak berkelip seperti kerlipan bintang di atas sana.


Azan berkumandang. Hati saya terasa sedih. Sedih dengan diri sendiri. Saya berasa gagal untuk hidup sebagai khalifah di bumi Tuhan ini apabila terasa tiada satu manfaat yang mampu saya berikan di sini. Astaghfirullah.

Kenapa diri? Kenapa hati? Kenapa terdetik untuk merasa begini? Kenapa baru hari ini? Kenapa tidak pernah sebelum ini? Kenapa???

Wahai diri. Wahai hati. Mengertilah. Ini kerana Allah itu sedang menyampaikan kasihNya padamu. Dia tidak mahu kau tergoda lagi dengan kemewahan dunia hingga kau tenggelam ke dasar. Dia sedang memberitahu kau kembali,apa tugasmu di muka bumi ini? Dia ingin mengejutkan kau kembali di dalam lena panjang sebelum ini,apa yang kau perlu lakukan untuk mewarisi perjuangan kekasihNya yang dicintai. Dunia itu…

“Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau. Jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu. Dan Dia tidak meminta hartamu.”

Surah Muhammad ayat 36

Maka wahai diri,wahai hati. Bangunlah dari tidurmu. Bangunlah dari mimpimu. Bangunlah dari istirahatmu. Lakukan sesuatu. Allah tidak mengejutkanmu untuk kau terus dibuai mimpi. Tapi dikejutkan untuk bangkit mencari kembali hati yang pernah menghilang. Mencari kembali hati yang pernah lupa akan tugasnya menyeru manusia ke jalan Tuhan.

“diriwayatkan dari Abu Hurairah ra,ia berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “daripada kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak berguna,”

(Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan selainnya seperti ini) Hadis 12 daripada Hadis 40 Imam Nawawi.

Tinggalkanlah angan-angan kosongmu. Tinggalkanlah nikmat permainan dan senda gurau dunia yang pernah kau pilih menjadi teman sejatimu.

Pandanglah kembali kepada keluargamu yang mengharap anaknya mampu menjadi soleh dan solehah,permata dalam agama Islam yang suci ini. Renunglah ke dasar mata masyarakat,mereka yang membawa obor perjuangan yang dinyalakan Rasulullah SAW perlu ada supaya sinar Islam,iman dan ihsan itu terus bergemerlapan di bumi Tuhan.

Its not about how much quantities you have but the qualities within. Allah tidak melihat banyak mana yang kau mampu tapi apa yang telah kau mencuba untuk mampu di jalanNya. Allah tidak melihat hasil,tapi Dia menilai usaha yang telah kau perbuat untuk mencari hasil yang cemerlang.

Ayuh sama-sama meneliti kembali hakikat diri di perjalanan kembara yang singkat di bumi ini. Untuk berehatkah? Atau menanam tanaman untuk dituai di akhirat kelak? Mari sama-sama mencari cinta akhirat di dalam dunia.

Surah Al-Qasas ayat 77,

“dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu,tetapi janganlah kamu lupakan bagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu,dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh,Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan,”

Wallahualam. Andai ada manfaat,hayatilah demi Islam. Usah dikisahkan jari siapa yang menari melakarkannya,kerana tidak lain segalanya itu datang dari Dia Yang Maha Memberi Ilham. Andai kosong tiada isi,penuh khilaf,mohon ampun dan mohon teguran yang membina.

Surah Al-Baqarah ayat 30,

“dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat. Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” mereka berkata, “apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?” Dia berfirman, “sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Salam ramadhan buat sahabat-sahabat yang dikasihi di jalanNya.



No comments: